Saturday, February 27, 2010

Malaysia lebar rekod di gelanggang sendiri


Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my

Posted Image
PEMAIN Malaysia, Baddrol Bakhtiar (depan) diasak pemain Yemen, Khaled Hasan Hussein Baleid pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 1-0.
KUALA LUMPUR – Rekod cemerlang Malaysia dalam perlawanan antarabangsa di gelanggang sendiri berterusan sejak 30 Disember lalu apabila menumpaskan Yemen 1-0 di sini, semalam.

Sayap kanan negara, Baddrol Bakhtiar memastikan langkah kanan skuad negara pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu menerusi gol tunggal pada minit ke-54.

Kemenangan tersebut, yang merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara selepas menewaskan Syria 4-1 hujung tahun lalu, sekali gus melebarkan rekod pertemuan dengan Yemen yang kini menyebelahi kita sejak 1984.

Ia juga bakal memperbaiki ranking skuad bimbingan K. Rajagobal yang kini berada pada kedudukan ke-159 dunia.

Yemen pula menghuni ranking 105 dunia.

Malaysia yang menguasai babak pertama permainan sewajarnya mendahului lawan dengan dua gol sekiranya Ashari Samsudin dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak berjaya menyudahkan rembatan masing-masing.

Ashari yang sempat mencuba pada minit ke-12 bagaimanapun hampa selepas rembatannya terkena palang biarpun penjaga gol Yemen, Saoud Abdullah Al- Sowadi sudah tertewas.

Pada masa kecederaan separuh masa pertama, tiang gol sekali lagi menjadi penyelamat Yemen walaupun rembatan Zaquan sudah menewaskan Saoud.

Selain itu, barisan depan Malaysia turut terlepas beberapa peluang menerusi Baddrol pada minit kelima, Ahmad Fakri Saarani (minit lapan) dan satu sepakan sudut pada minit ke-24 yang mudah disambut Saoud.

Yemen tidak ketinggalan menguji pintu gawang Malaysia yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli menerusi Khaled Hasan Hussein Baleid dan Mohammed Abdullah Al-Abidi masing-masing pada minit keenam dan ke-37.

Kem negara melonjak girang pada minit ke-54 apabila sayap kanan Kedah, Baddrol merembat masuk sepakan percuma selepas terkena palang sedikit untuk membawa Malaysia mendahului 1-0.

Tiga minit kemudian, Ahmad Fakri pula nyaris menambah gol tetapi sempat dibaca oleh Saoud, begitu juga percubaan kaki kiri, Bunyamin Omar pada minit 63.

Pada minit ke-67 pemain Yemen, Ala Mohamed Al-Sasi cuba mencedok untuk menguji penjaga gol gantian negara, Farizal Marlias tetapi tinggi melewati palang gol.

No comments:

Post a Comment