Wednesday, January 13, 2010

Selangor mula langkah kanan

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my

Gol Safee, Surendran lebur semangat NS selepas dahului awal saingan


JUARA tiga piala musim lalu, Selangor gah menjulang kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kesembilan apabila Safee Sali dan R Surendran menampilkan gandingan berbisa pada babak kedua untuk membantu pasukan bangkit menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam Perlawanan Sumbangsih 2010 di Stadium Paroi, malam tadi.

Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 25,000 penonton itu jelas kedua-dua pasukan elit itu yang hadir selaku juara Piala Malaysia (Negeri Sembilan) dan Piala FA (Selangor) itu menepati jangkaan dengan aksi seimbang. Keputusan itu diambil kira dalam pungutan mata Liga Super apabila edisi 2010 itu yang menyingkap tirai, malam tadi turut membabitkan enam lagi perlawanan yang diadakan serentak.

Ketinggalan 1-0 menerusi tandukan Idris Karim pada separuh masa pertama, Safee Sali menolak masuk gol penyamaan selepas menerima umpanan R Surendran pada minit ke-72 dengan Safee membalas jasa rakan sepasukannya empat minit kemudian apabila melintangkan bola buat Surendran untuk gol kemenangan.

Begitu pun, amaran awal dilaungkan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan apabila sepakan percuma Shahurain Abu Samah singgah di palang pada percubaan kedua selepas benteng menghalang sepakan pertamanya.

Selang tujuh minit, giliran Selangor untuk mengasak dengan Safiq Rahim meledakkan rembatan dari sayap kanan tetapi penjaga gol, Mohd Farizal Harun bingkas melayangkan badan untuk menolak keluar.

Gol semangat yang dinanti-nantikan penyokong tuan rumah hadir pada minit ke-26 menerusi Idris yang tidak dikawal menanduk masuk tendangan bebas kapten, Rezal Zambery Yahya selepas Norizam Salaman dijatuhkan.

Babak kedua diteruskan dengan aksi rancak kedua-dua pasukan dan seperti dijangkakan Selangor bermula garang dengan tandukan cantik ketua pasukan, Amri Yahyah menuju tiang kiri ketika Farizal tertewas.

Namun, tiada apa yang dapat menghalang Gergasi Merah daripada menyamakan kedudukan apabila Safee menyambung tolakan rendah Surendran yang bijak meloloskan diri di sayap kiri.

Dan, Selangor melengkapkan kebangkitan mereka apabila gerakan cantik satu dua Surendran-Safee berakhir dengan Surendran kali ini menolak masuk tolakan Safee untuk gol kemenangan dan tiga mata penuh.


No comments:

Post a Comment