Wednesday, January 13, 2010

Usah dibuai kemenangan - Ahmad

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

Posted Image
PEMAIN Johor, Azmi Sarmin (kiri) mengawal bola sambil diasak dua pemain Kedah pada aksi Liga Super di Larkin malam kelmarin. Kedah menang 3-0.
KEMENANGAN bergaya 3-0 Kedah ke atas Johor mampu menghadirkan gerun pasukan lawan dalam saingan Liga Super musim ini.

Namun, skuad Hijau Kuning itu tidak mahu mendabik dada kerana menganggap saingan masih awal dan banyak lagi perlawanan sengit yang perlu ditempuhi.

Apa pun ia memberi kemenangan moral kepada peminat dan pemain yang mahu bangkit mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Bagi ketua jurulatih Kedah yang baru, Ahmad Yusof, beliau tidak mahu barisan pemainnya dibuai dengan kemenangan itu, sebaliknya terus fokus kepada perlawanan akan datang.

Katanya, kemenangan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu memang diharapkan bagi membuka tirai musim ini dengan permulaan yang positif.

"Kita mempunyai sasaran sendiri dan menyedari saingan liga pasti lebih getir pada musim ini. Apa yang Kedah mahu lakukan ialah mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada pertemuan itu, Mohd. Azlan Ismail muncul wira Kedah apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-32, 80 dan 86, sekali gus meletakkan skuad Kenari sebagai pendahulu liga.

Biarpun mencatat kemenangan selesa, pengendali Kedah berusia 49 tahun itu melihat masih ada ruang yang perlu dibaiki bagi meneruskan cabaran mereka musim ini.

"Pemain tidak boleh selesa, beberapa kelemahan perlu dibaiki bagi memantapkan pasukan," katanya.

Menyentuh lanjut perlawanan itu, Ahmad berpuas hati kerana pemain-pemainnya berjaya memanfaatkan peluang gol untuk membenam pendatang baru Liga Super tersebut.

Katanya, perlawanan itu adalah seimbang tetapi Kedah yang mendapat peluang berjaya menyudahkannya dengan jaringan.

"Kem Kedah perlu bersyukur dengan kemenangan ini kerana permulaan yang kita rancang dan harap menjadi kenyataan," katanya.

Kedah akan menanti kunjungan naib juara Liga Super musim lalu, Perlis di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Rabu ini.

No comments:

Post a Comment