Tuesday, May 24, 2011

KEDAH vs KUALA LUMPUR


Ahad, 22 Mei 2011
Stadium Darulaman, Alor Setar
Perlawanan ke 20 Liga Super Malaysia 2011
Kehadiran penyokong : Sekitar 5,000 orang



Detik-detik penting :


Separuh masa pertama

Minit 6 : Mohd Faizal Abu Bakar melakukan percubaan pertama perlawanan dengan merembat deras menerusi kaki kiri namun ianya jauh tersasar daripada sasaran

Minit 11 : Penyerang pasukan pelawat, Khairul Anuar Shafie hampir-hampir mencetak nama sebagai penjaring gol sulung perlawanan apabila rembatan kaki kiri beliau sekadar terkena tiang gol tuan rumah dan akhirnya berjaya dikeluarkan oleh Khairul Helmi Johari daripada kawasan bahaya. Peluang yang dicipta dengan cukup kreatif oleh satu-satunya pemain berbangsa Cina yang beraksi di dalam perlawanan ini iaitu See Kok Luen yang bijak melakukan 1-2 terhadap Khairul Anuar hasil tolakan oleh Norismaidham Ismail daripada kawasan tengah padang. Gerakan 1-2 tersebut nyata hampir membuahkan gol awal buat pelawat namun tiang gol menafikan kerja sepasukan pasukan Kuala Lumpur. Suatu visi yang sangat menarik oleh See Kok Luen.

Minit 15 :
Giliran tuan rumah melakukan asakan menerusi Khyril Muhymeen Zambri namun rembatan kaki kiri beliau hanya sedikit tersasar daripada tiang gol kanan pasukan pelawat

Minit 25 :
Khyril Muhymeen sekali lagi mempunyai peluang yang baik apabila bijak melepaskan rembatan daripada sudut sukar ke arah gol Kuala Lumpur. Gerakan ini terhasil melalui lintangan leret oleh Mohd Faizal Abu Bakar daripada sebelah kanan padang dan ditahan dengan kemas oleh Khyril Muhymeen yang berada betul-betul di depan gol pelawat dan beliau terus memusingkan badan sambil melepaskan rembatan yang berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol yang juga merupakan kapten pelawat, Norazlan Razali. Peluang terbaik yang dimiliki Kedah di dalam perlawanan ini

Minit 34 : Pemain Kuala Lumpur berjersi nombor 20, Farouk Hashim merupakan pemain pertama yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Mohd Romzi Zahari kerana didapati dengan sengaja menahan bola dengan tangan

Minit 41 : Wan Jamak Wan Hassan mengeluarkan Mohd Faizal Abu Bakar yang dilihat serba tidak menjadi dan digantikan oleh Wan Mohd Asyraf Wan Ali

Minit 43 : Bola lintang Shafizan Hashim daripada bahagian kiri padang berjaya ditanduk kemas oleh Khyril Muhymeen tetapi ianya sedikit tinggi daripada palang gol pelawat

Minit 44 : Masa tambahan 1 minit

Minit 45 + 1 : Tamat separuh masa pertama. Persembahan 45 minit pertama yang agak membosankan daripada kedua-dua pasukan. Walaubagaimanapun pasukan pelawat dilihat lebih menguasai perlawanan berbanding barisan berpengalaman Kedah. Suatu situasi yang tidak sepatutnya berlaku


Separuh masa kedua

Minit 46 : Kuala Lumpur memperolehi satu tendangan percuma betul-betul di luar kotak penalti tuan rumah yang diambil oleh Ahmad Hazwan Bakri. Sepakan deras beliau berjaya menembusi benteng 5 pemain tuan rumah dan ianya menuju tepat ke arah penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias yang terpaksa menolak bola tersebut ke atas dan seterusnya menghadiahkan sepakan penjuru kepada pelawat. Suatu teknik sepakan yang sangat baik oleh Ahmad Hazwan Bakri

Minit 48 : Khairul Anuar Shafie berjaya menembus masuk ke depan kotak penalti dan berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Kedah namun penyudah beliau amat menghampakan apabila rembatan kaki kiri beliau sekadar menerjah ke bulan!

Minit 56 : Kedah seakan-akan mendapat tonik baru apabila gerakan yang dimulakan oleh pemain tengah kebangsaan, Amar Rohidan berjaya dihidu oleh Wan Asyraf Wan Ali. Daripada bahagian tengah, Amar dengan pantas melambung bola kepada Mohd Fiqry Md.Isa yang berada di bahagian sayap kanan, dan Fiqry berjaya menggelecek pertahanan kiri pelawat, Mohd Farid Ramli sebelum menolak bola kepada Wan Asyraf yang jelas tidak dikawal oleh sesiapa. Wan Asyraf bagaimanapun melakukan penyudah lemah dengan merembat ke arah gol pelawat namun kelemahan sepakan tersebut menyebabkan penjaga gol Kuala Lumpur mudah mendakap kemas bola tersebut

Minit 58 : Penyudah lemah sekali lagi menghantui kem Kedah dan kali ini menerusi Mohd Fiqry Md.Isa yang hanya merembat lemah ke arah Norazlan Razali

Minit 59 : Penyerang Kuala Lumpur, Khairul Anuar Shafie sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan tuan rumah apabila berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti tuan rumah. Namun beliau sekali lagi mensia-siakan peluang dengan merembat bola menuju ke arah bulan! Ketua Jurulatih Kuala Lumpur hanya mampu mengelengkan kepala melihatkan percubaan anak buahnya itu

Minit 60 : Kedah diasak lagi dan kali ini menerusi seorang lagi penyerang muda mereka, Ahmad Hazwan Bakri yang merembat padu ke arah gol Kedah. Namun ianya sedikit tersasar. Walaubagaimanapun pujian harus dilontarkan kepada pemain muda ini yang berani melakukan percubaan dan dilihat bernafsu untuk mencari gol buat pasukannya

Minit 62 : Melihatkan anak buahnya, Mohd Firdaus Faudzi tidak mempunyai idea-idea yang lebih bernas, Wan Jamak Wan Hassan mengeluarkan Firdaus dan digantikan oleh pemain muda daripada skuad Piala Presiden, Mohd Zulfaizam Kamis. Zulfaizam diletakkan sebagai sayap-pertahanan kiri dan Shafizan Hashim bermain di posisi Firdaus iaitu sayap kiri

Minit 65 : Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail melakukan pertukaran pertama buat pasukannya dengan mengeluarkan Khairul Anuar Shafie dan digantikan oleh bekas Kapten pasukan MASUM, Fahrul Razi Kamaruddin yang masuk untuk beraksi di posisi sayap kanan

Minit 72 :
Razip Ismail sekali lagi melakukan pertukaran pemain dengan mengeluarkan Farouk Hashim dan memasukkan Mohd Hazwan Rahman

Minit 74 : Kemasukan Fahrul Razi nyata memberi impak kepada pasukan pelawat apabila bola hantaran beliau kepada Mohd Syafiq Johari hampir-hampir saja menghukum kesilapan pemain tuan rumah. Kesilapan oleh Khairul Helmi Johari dalam mengeluarkan bola hampir mengundang padah apabila "clearance" beliau sampai kepada Fahrul Razi yang turut berada di dalam kotak penalti. Tanpa membuang masa, Fahrul Razi dengan pantas menghantar bola kepada Syafiq Johari yang nyata tidak dikawal sesiapa dan menerusi "First Touch", Syafiq terus merembat bola tepat ke arah Helmi Eliza yang menyaksikan Helmi berjaya menangkap kemas bola tersebut. Kecewa seluruh kem Kuala Lumpur! Syafiq seharunya melakukan "Placing" sahaja dan gol sulung perlawanan bakal menjadi milik Kuala Lumpur. Khairul Helmi Johari harus menarik nafas lega dan perlu berterima kasih kepada Helmi Eliza yang berjaya menyelamatkan keadaan bahaya tersebut sekaligus menafikan beliau daripada menanggung tekanan yang tidak sepatutnya digalas!

Minit 80 : Pemain gantian pada separuh masa pertama, Wan Asyraf Wan Ali dikeluarkan dan digantikan oleh penyerang skuad Olimpik negara, Ahmad Shakir Ali. Wan Asyraf nyata gagal untuk memberi saingan kepada lawan yang rata-ratanya mempunyai keupayaan yang sama dengan beliau

Minit 88 :
Ketika perlawanan menuju ke minit-minit akhir, See Kok Luen dilayangkan kad kuning kedua perlawanan apabila didapati dengan sengaja menghalang sepakan percuma yang diambil oleh kapten Kedah, Mohd Fauzie Nan

Minit 89 : Masa tambahan 3 minit

Minit 90 + 2 : Kuala Lumpur menggunakan slot terakhir pertukaran pemain dengan mengeluarkan See Kok Luen dan digantikan oleh Mohd Badrul Hisyam Azmi

Minit 90 + 3 : Wisel penamat perlawanan. Wan Jamak Wan Hassan perlu mencari tonik baru sekiranya mahu menyaksikan Kedah sebagai pencabar serius kejuaraan bagi musim akan datang. Perebutan takhta liga dilihat sudah tertutup buat skuad Hijau Kuning ini dan menyaksikan saingan liga hanya berbaki 5 perlawanan. Kedah perlu lebih fokus dalam merebut kedudukan keempat Liga Super Malaysia dan Harimau Muda A dan Perak merupakan pencabar terdekat



Line up kedua-dua pasukan :


KEDAH
1-Mohd Helmi Eliza Elias (PG), 2-Mohd Fauzie Nan (K), 3-Shahril Faizal Sharifuddin, 6-Shafizan Hashim, 8-Amar Rohidan, 13-Khairul Helmi Johari, 16-Mohd Fazliata Taib, 18-Mohd Khyril Muhymeen Zambri, 19-Mohd Faizal Abu Bakar (24-Wan Mohd Asyraf Wan Ali)(12-Ahmad Shakir Ali), 23-Mohd Firdaus Faudzi (27-Mohd Zulfaizam Kamis), 28-Mohd Fiqry Md.Isa

Pemain simpanan yang tidak digunakan KEDAH

20-Mohd Arfan Abdul Rashid, 25-Abdul Hadi Abdul Hamid (PG), 29-Lew Hung Hung, 30-Mohd Fitri Zaaim

Pemain Digantung Pasukan KEDAH
Tiada


KUALA LUMPUR
4-Ahmad Jihat Ismail, 8-Norismaidham Ismail, 9-Azmi Sarmin, 10-Khairul Anuar Shafie (6-Fahrul Razi Kamaruddin), 12-See Kok Luen (14-Mohd Badrul Hisyam Azmi), 20-Farouk Hashim (29-Mohd Hazwan Rahman), 21-Norazlan Razali (PG)(K), 22-Mohd Syafiq Johari, 23-Mohd Farid Ramli, 25-Ahmad Dashila Tajudin, 28-Ahmad Hazwan Bakri

Pemain simpanan yang tidak digunakan KUALA LUMPUR
1-Mohd Zahid Ahmad (PG), 15-Muhammad Afiq Azmi, 16-Arman Fareez Mohd Ali, 16-Mohd Nazrin

Pemain Digantung Pasukan KUALA LUMPUR
Tiada


Pegawai Pasukan KEDAH :


Ketua Jurulatih : Wan Jamak Wan Hassan
Pengurus Pasukan : Dato' Haji Khazali Haji Din

Pegawai Pasukan KUALA LUMPUR :

Ketua Jurulatih : Mohd Razip Ismail
Pengurus Pasukan : Nokman Mustaffa


Pegawai Pertandingan :

Pengadil : Mohd Romzi Bin Zahari
Penolong Pengadil 1 : Rosli Mohd Noor
Penolong Pengadil 2 : Abdullah Abu Bakar
Pegawai ke 4 : Mohd Fazli Ishak
Kommisioner Perlawanan : Nasarudin Ishak
Penilai Pengadil/PP : -
General Koordinator : Shahrin Ismail
Pegawai Media : -


STATISTIK PERLAWANAN

Statistik perlawanan tidak dapat disiarkan atas masalah teknikal


KEPUTUSAN PENUH :

KEDAH 0 - 0 KUALA LUMPUR


HIJAUKUNING.COM Man Of The Match :
Norismaidham Ismail (Kuala Lumpur)

source: Hazwan Siew KHC

No comments:

Post a Comment