Wednesday, May 18, 2011

KEDAH vs PERLIS


Rabu, 18 Mei 2011
Stadium Darulaman, Alor Setar
Perlawanan ke 20 Liga Super Malaysia 2011
Kehadiran penyokong : Sekitar 5,000 orang



Detik-detik penting :


Separuh masa pertama

Minit 1 : Khyril Muhymeen Zambri berjaya melakukan sepakan lintang mencari Azlan Ismail di dalam kotak penalti Perlis namun Azlan hanya sedikit terlewat untuk melakukan tandukan dan menyaksikan Penjaga Gol pelawat, Amini Ahmad Tabarani terlebih dahulu menangkap bola tersebut

Minit 8 : Lorongan cantik yang dilakukan oleh Baddrol Bakhtiar kepada Khyril Muhymeen hampir-hampir membuahkan hasil tetapi lorongan tersebut agak sedikit ke depan dan Amini dengan mudah menangkap bola tersebut sebelum disambar oleh Khyril Muhymeen. Visi yang baik oleh Baddrol

Minit 10 : Perlis melakukan percubaan pertama perlawanan menerusi penyerang mereka, Mohd Rizal Mohd Ghazali yang berjaya melepaskan rembatan kencang dari sebelah kanan kotak penalti tuan rumah namun ianya jauh tersasar

Minit 15 : Pemain tengah Singa Utara, Tengku Mohd Adam menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan apabila mengasari Amar Rohidan di kawasan tengah padang

Minit 17 : Kedah dinafikan sepakan penalti oleh Pengadil apabila Ahmad Fauzi Shaari dijatuhkan di dalam kotak penalti Perlis ketika ingin melepaskan rembatan ke arah pintu gol pelawat. Ahmad Fauzi Shaari melakukan protes tetapi ianya tidak dilayan oleh Suhaimi Mat Hassan mahupun Penjaga Garisan, Ahmad Azanor Huslan

Minit 19 :
Baddrol Bakhtiar dilayangkan kad kuning apabila didapati melakukan hadangan lebih awal sebelum Pengadil meniup wisel. Ianya berpunca daripada sepakan percuma yang dihadiahkan kepada pelawat dan Baddrol didapati keluar daripada barisan benteng lebih awal daripada tiupan wisel Pengadil

Minit 25 : Tengku Mohd Adam bijak mengesan Helmi Eliza Elias yang agak terkeluar daripada kedudukannya dan melepaskan suatu rembatan jarak jauh. Namun ianya tersasar. Bagaimanapun ianya suatu percubaan yang harus diberi pujian di atas kebijakan Tengku Mohd Adam mengesan kesilapan mudah Helmi Eliza

Minit 27 : Baddrol Bakhtiar mempunyai peluang yang baik apabila bijak memperdayakan pertahanan kanan pelawat, Hafiszuan Sallehuddin sebelum merembat kencang ke arah pintu gol Perlis. Bagaimanapun ia sedikit sahaja melewati palang gol Singa Utara. Selepas 27 minit permainan, ini merupakan percubaan pertama pasukan Kedah

Minit 32 : Kedah memperolehi sepakan percuma di luar bahagian kiri kotak penalti Perlis yang disempurnakan oleh Mohd Azmi Muslim yang berjaya disambar oleh Khyril Muhymeen dengan menanduk ke belakang namun ianya sedikit sahaja melewati palang gol pelawat

Minit 36 : Mohd Azmi Muslim sekali lagi menyempurnakan sepakan percuma dan berjaya ditanduk oleh Azlan Ismail. Bagaimanapun bola tersebut melantun di depan gol dan Shafizan Hashim dengan pantas cuba melakukan "First Timer" ke atas bola tersebut namun beliau gagal menyentuh bola tersebut dan ianya keluar dan sepakan gol diberikan kepada Perlis

Minit 38 : Shafizan Hashim dilayangkan kad kuning apabila mengasari Tengku Mohd Adam daripada belakang

Minit 38 : Wan Jamak Wan Hassan membuat pertukaran pemain yang pertama dengan mengeluarkan Azlan Ismail dan memasukkan Mohd Faizal Abu Bakar. Suatu tindakan yang tepat memandangkan Azlan dilihat langsung tidak menyerlah dan aggresif di sepanjang penglibatan beliau. "Fresh Legs" perlu dibawa masuk dan Faizal adalah jawapan daripada Wan Jamak

Minit 44 : Masa tambahan 1 minit

Minit 45 + 1 : Tamat separuh masa pertama


Separuh masa kedua

Minit 45 : Kedah mengeluarkan Mohd Azmi Muslim yang kelihatan terhincut-hincut pada separuh masa pertama dan digantikan oleh Shahril Faizal Sharifuddin Minit 46 : Layang kad kuning bersambung di babak kedua apabila pemain sayap kanan pelawat, Hadi Syahmi Hamzah pula dilayangkan kad kuning akibat terjahan kasar ke atas Baddrol Bakhtiar

Minit 47 :
GOL !!! Kapten pasukan Perlis, Azmizi Azmi menjaringkan gol sendiri apabila tertanduk masuk bola sepakan percuma Baddrol Bakhtiar ke gawang sendiri melepasi jangkauan Amini Ahmad Tabarani. Suatu kesilapan yang tidak disengajakan oleh Azmizi yang pada mulanya ingin menanduk bola kepada Amini untuk didakap namun sedikit salah faham mengakibatkan Amini keluar dari posisinya bagi menumbuk bola keluar. Malangnya, belum sempat Amini menumbuk bola tersebut, Azmizi sudah pun melakukan tandukan ke belakang melepasi jangkauan tangan Amini. Kedah mendahului dengan 1-0

Minit 51 :
GOL !!! 4 minit selepas gol pertama, Kedah menambah jaringan lagi menerusi Mohd Faizal Abu Bakar yang mudah menolak masuk bola leret yang dihantar oleh V.Thirumurugan dari sebelah kiri pintu gol Perlis. Pujian harus diberikan kepada Thiru yang bijak melepasi perangkap offsaid pelawat dan terus meleretkan bola kepada Faizal. Suatu "marking" yang sangat longgar oleh barisan pertahanan Janos Krecska dan akhirnya Faizal Abu Bakar menghukum kesilapan mudah itu

Minit 54 :
Janos Krecska melakukan pertukaran pemain yang pertama dengan mengeluarkan Mohd Hazwan Zainun dan memasukkan Mohd Faiz Subri bagi menjana serangan melalui sayap kiri

Minit 55 : KAD MERAH !!! Hadi Syahmi Marzuki dilayangkan kad kuning kedua dan ditunjukkan jalan keluar oleh Suhaimi Mat Hassan yang menghukum beliau kerana menerjah keras kaki Ahmad Fauzi Shaari. Tindakan yang tepat oleh Pengadil perlawanan

Minit 60 : Ahmad Fauzi Shaari kelihatan tidak mampu untuk meneruskan permainan dan digantikan oleh Mohd Fiqry Isa

Minit 65 : Perlis melakukan pertukaran kedua dengan mengeluarkan Tengku Mohd Adam dan memasukkan Nik Shahrul Hanizam

Minit 66 : Peluang terbaik Perlis hadir pada minit ke 66 apabila sepakan percuma yang diambil oleh pemain yang baru sahaja masuk iaitu Mohd Faiz Subri tepat ke arah Helmi Eliza yang hanya mampu menepis keluar sepakan deras tersebut

Minit 72 : Baddrol Bakhtiar mensia-siakan peluang yang baik apabila sepakannya jauh tersasar! Shafizan Hashim berjaya melakukan hantaran tepat kepada Baddrol yang jelas tidak dikawal oleh mana-mana pemain lawan dalam kotak penalti Perlis dan menerusi "First Touch", beliau terus melakukan rembatan yang akhirnya tersasar ke bulan! Baddrol harus lebih kerap melakukan latihan situasi sebegini kerana beliau dilihat kerap membazirkan peluang lebih-lebih lagi menerusi percubaan "First Touch"

Minit 78 : Pemain muda Hijau Kuning, Mohd Fiqry Md.Isa mensia-siakan satu lagi peluang tuan rumah apabila kegopohannya dalam melaksanakan penyudah menyaksikan Kedah terlepas satu lagi peluang yang baik. Jika di dalam keadaan tenang, Fiqry dilihat mampu untuk menolak bola kepada Khyril Muhymeen yang langsung tidak dikawal di dalam kotak penalti Perlis. Namun, kegopohan Fiqry mengatasi segalanya

Minit 81 : Singa Utara melakukan pertukaran pemain yang terakhir dengan mengeluarkan Wan Mohd Syukri dan memasukkan bekas ayam tambatan Kedah, Mohd Fadly Baharum

Minit 89 : Ketika permainan menuju ke masa tambahan, Baddrol Bakhtiar masih sempat melepaskan suatu rembatan kencang yang terpaksa ditepis keluar oleh Amini Ahmad Tabarani

Minit 90 : Masa tambahan 2 minit

Minit 90 + 1 : Kedah memperolehi peluang terbaik mereka di dalam perlawanan ini menerusi Baddrol Bakhtiar yang berjaya melakukan "tapping" deras ke arah pintu gol Perlis namun ketangkasan Amini menidakkan gol ketiga tuan rumah. Berpunca daripada gerakan Khyril Muhymeen yang berjaya melarikan bola ke sebelah kanan kotak penalti pelawat dan berjaya mengesan kelibat Baddrol Bakhtiar yang bebas daripada kawalan pemain-pemain Perlis. Beliau terus menghantar bola kepada Baddrol dan "tapping" Baddrol berjaya ditepi keluar oleh Penjaga Gol pelawat. Ia sepatutnya gol ketiga Tuan Rumah!

Minit 90 + 2 :
Wisel penamat perlawanan



Line up kedua-dua pasukan :


KEDAH
1-Mohd Helmi Eliza Elias (PG), 2-Mohd Fauzie Nan (K), 6-Shafizan Hashim, 7-Baddrol Bakhtiar, 8-Amar Rohidan, 9-Mohd Azmi Muslim (3-Shahril Faizal Sharifuddin), 11-Ahmad Fauzi Shaari (28-Mohd Fiqry Md.Isa), 13-Khairul Helmi Johari, 14-Azlan Ismail (19-Mohd Faizal Abu Bakar), 17-V.Thirumurugan, 18-Mohd Khyril Muhymeen Zambri

Pemain simpanan yang tidak digunakan KEDAH

12-Ahmad Shakir Ali, 16-Mohd Fazliata Taib, 23-Mohd Firdaus Faudzi, 25-Abdul Hadi Abdul Hamid (PG)

Pemain Digantung Pasukan KEDAH

Tiada


PERLIS
5-Mohd Sani Mat Isa, 12-Mohd Rozaidi Abdul Rahim, 14-M.Hafiszuan Sallehuddin, 16-Tengku Mohd Adam (20-Nik Shahrul Hanizam), 17-Azmizi Azmi (K), 23-Mohd Hazwan Zainun (13-Mohd Faiz Subri), 25-Amini Ahmad Tabarani (PG), 26-Mohd Munawwar Shavukat Ali, 27-Hadi Syahmi Hamzah, 28-Wan Mohd Syukri (15-Mohd Fadly Baharum), 29-Mohd Rizal Mohd Ghazali

Pemain simpanan yang tidak digunakan PERLIS
8-Mohd Hisyam Mohd Soffi, 18-Syed Mohd Abd.Ghafar, 19-Hizbullah Awang, 21-Mohd Amirul ROsli (PG)

Pemain Digantung Pasukan PERLIS
Tiada


Pegawai Pasukan KEDAH :

Ketua Jurulatih : Wan Jamak Wan Hassan
Pengurus Pasukan : Dato' Haji Khazali Haji Din

Pegawai Pasukan PERLIS :

Ketua Jurulatih : Janos Krecska
Pengurus Pasukan : Azahar Ahmad


Pegawai Pertandingan :

Pengadil : Suhaimi Mat Hassan
Penolong Pengadil 1 : Ahmad Azanor Huslan
Penolong Pengadil 2 : Asmadi Noor Hasni
Pegawai ke 4 : Haslimi Saidin
Kommisioner Perlawanan : -
Penilai Pengadil/PP : Supian Ali Mustapah
General Koordinator : Jamil Che Mat
Pegawai Media : Zahari Mat Isa


STATISTIK PERLAWANAN

KEDAH / PERLIS

Percubaan Tepat 3 / 2
Percubaan Tersasar 7 / 7
Sepakan Penjuru 5 / 2
Sepakan Percuma 21 / 23
Kesalahan Dilakukan 19 / 21
Ofsaid 4 / 0
Kad Kuning 2 / 3
Kad Merah 0 / 1


KEPUTUSAN PENUH :


KEDAH 2 - 0 PERLIS


HIJAUKUNING.COM Man Of The Match : V.Thirumurugan (Kedah)

No comments:

Post a Comment