Tuesday, February 23, 2010

Harimau Muda beraksi di ‘laman sendiri'

SKUAD Harimau Muda A akan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan pertama Liga Satu Slovakia, Sabtu ini, apabila Kesatuan Kelab-Kelab Liga Slovakia (ULK) tidak berpuas hati dengan tahap permukaan stadium Sala.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata pihaknya dimaklumkan ULK, petang semalam, gelanggang perlawanan pertama skuad Bawah 21 tahun bimbingan Azraai Khor Abdullah dengan Sala FC, diubah.


“Saya mendapat pengesahan daripada ULK perlawanan pertama Harimau Muda A terpaksa ditukar dari Sala ke Vion. Sepatutnya perlawanan itu diadakan di Sala tapi keadaan bersalji menyebabkan keadaan tidak memuaskan.


“ULK tidak mahu menunda perlawanan itu. Maka, mereka memilih Vion kerana padang digunakan skuad negara menggunakan rumput tiruan, tentu tidak ada masalah untuk perlawanan itu dilangsungkan” katanya, semalam.


Jelasnya, cuaca di Slovakia masih sejuk sehingga menyebabkan skuad negara tidak dapat mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab tempatan yang dijadualkan semalam.


Barisan Harimau Muda A tiba di Slovakia, Ahad lalu kini berpangkalan di Vion selama lebih tiga bulan bagi mengharungi 14 perlawanan Liga Satu negara itu.

HMETRO


No comments:

Post a Comment