Monday, February 8, 2010

Ujian terakhir skuad Azraai


WAN ZACK HAIKAL turut disenaraikan oleh Azraai dalam skuad Harimau Muda A pada aksi persahabatan menentang UPM esok.


SKUAD bawah 20 tahun (B-20) negara atau Harimau Muda A akan turun dalam aksi persahabatan terakhir mereka esok sebelum berlepas ke Slovakia pada 19 Februari ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Jurulatih Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, perlawanan menentang skuad Universiti Putra Malaysia (UPM) di Stadium UPM, Serdang (8.30 malam esok) itu akan menjadi medan terakhir baginya memilih senarai 25 pemain ke Slovakia.

"Perlawanan menentang UPM ini adalah yang terakhir sebelum kita ke Slovakia. Saya masih beri peluang kepada 25 pemain ini untuk mempamerkan kemampuan mereka sebelum saya putuskan senarai akhir pada Jumaat ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Azraai terpaksa menggugurkan lima pemain dari skuad Harimau Muda A itu kerana beliau telah membuat keputusan untuk menyelitkan lima pemain Harimau Muda B (skuad B-19 negara) bimbingan Ong Kim Swee dalam skuad 25 pemain ke Slovakia.

"Lima pemain Harimau Muda B terbabit adalah A. Thamil Arasu, Gary Steven Robat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fadhli Shas dan Fandi Othman.

"Tetapi lima pemain ini hanya akan mula menyertai kami selepas mereka beraksi buat kali terakhir bersama Harimau Muda B pada perla- wanan Liga Perdana menentang Melaka pada Jumaat ini," jelasnya.

Skuad Harimau Muda A bakal memulakan aksi dalam saingan Liga Divisyen Dua Slovakia, Liga 1 dengan menentang pasukan tangga tercorot, Slovan Duslo Sala di tempat lawan pada 27 Februari ini.

Selepas itu, Harimau Muda A akan meneruskan saingan menentang Ruzomberok B di tempat gelanggang sendiri mereka di Zlate Moravce sehinggalah aksi ke-14 menentang Zemplin Michalovce pada 29 Mei depan.

Sebelum berangkat ke Slovakia, pemain Harimau Muda A akan diberi penerangan oleh pakar pemakanan dari Institut Sukan Negara (ISN) esok berhubung aspek penjagaan pemakanan bagi mengekal dan meningkatkan prestasi mereka sepanjang tiga bulan berada di Slovakia nanti.

Source: KOSMO

No comments:

Post a Comment