Tuesday, March 8, 2011

Kedah beri Ahmad ‘cuti’

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) terpaksa akur dengan desakan penyokong dan peminat skuad Kenari apabila mengambil keputusan merehatkan ketua jurulatih, Ahmad Yusof berkuatkuasa serta-merta berikutan prestasi merosot pasukan Hijau Kuning musim ini.

Presiden KFA, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat KFA malam kelmarin selain memutuskan penolong jurulatih, Radzi Md Din memangku jawatan sebagai ketua jurulatih bagi satu tempoh yang akan ditetapkan.


“Saya kecewa dengan persembahan hambar pemain Kedah musim ini sedangkan kita mempunyai kelebihan kerana ada ramai pemain kebangsaan. “Justeru, kerana mengambil kira pandangan dan permintaan penyokong pasukan Hijau Kuning, kami membuat keputusan merehatkan Ahmad buat sementara waktu dan tempatnya bakal dipangku Radzi,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Ahmad sebagai ketua jurulatih selepas mendapat desakan penyokong yang mahukan supaya beliau mengundur diri berikutan prestasi merudum pasukan itu dalam Liga Super 2011 selain tersingkir daripada saingan Piala FA.


Azizan berkata, beliau berharap peminat puas hati dengan keputusan itu dan melihat perkembangan itu daripada sudut positif dengan terus menyokong pasukan Kedah.


Sementara itu, Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, setiap pemain diminta menunjukkan kesungguhan dalam setiap perlawanan, manakala pihaknya mengkaji aspek kemerosotan pasukan serta mendapat pandangan luar.

source : harian metro


No comments:

Post a Comment