Sunday, March 13, 2011

KEDAH 2 vs TERENGGANU 1


Sabtu, 12 Mac 2011
Stadium Darulaman, Alor Setar
Perlawanan ke7 Liga Super Malaysia 2011
Kehadiran penyokong : Sekitar 6,000 orang



Detik-detik penting :

Separuh masa pertama

Minit 8 : Mohd Faizal Abu Bakar melepaskan satu rembatan padu namun terus ke dakapan Penjaga Gol pelawat, Mohd Sharbinee Allawee

Minit 12 : Joseph Kallang Tie mensia-siakan peluang apabila menerima hantaran bijak daripada Ashaari Samsuddin tetapi percubaan jarak jauhnya hanya tersasar ke bulan!

Minit 22 : Ahmad Shakir Ali perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyudahkan peluang yang terbuka di hadapan gol pelawat. Ianya berpunca daripada sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar yang dihantar dengan baik ke kawasan "near post" yang seakan-akan singgah di kaki Mohd Faizal Abu Bakar tetapi menyedari bahawa Shakir lebih berpeluang untuk mencipta gol, dengan bijak Faizal melakukan "dummy" dan bola tersebut sampai ke kaki Shakir. Namun kegopohan Shakir menyaksikan sepakannya terlalu jauh tinggi di atas palang gol Terengganu. Hanya ketenangan mampu membantu Shakir di dalam situasi demikian apabila beliau ternyata langsung tidak dicabar oleh mana-mana pemain Terengganu

Minit 29 :
Terengganu sepatutnya sudah di depan apabila suatu peluang "Clearcut Chance" yang seharusnya dijaringkan oleh Ahmad Nordin Alias. Ia berpunca apabila berlaku situasi kelam kabut di depan gol tuan rumah, dan sentuhan terakhir Nordin berjaya diselamatkan oleh pertahanan Kedah, Mohd Fauzie Nan yang berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol Kedah.

Minit 29 : GOL!! Reeshafiq Alwi berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring gol sulung perlawanan apabila "first timer" jarak jauhnya menerjah terus ke penjuru atas kiri pintu gol Kedah yang hanya mampu diperhatikan sahaja oleh penjaga gol tuan rumah, Abdul Hadi Abdul Hamid. Gol yang sangat menarik oleh beliau! Jarang-jarang dapat kita saksikan! Ianya terhasil apabila sepakan penjuru pemain sayap kebangsaan, Mohd Ashaari Samsuddin ke tengah kotak penalti berjaya ditumbuk keluar oleh Abdul Hadi Abdul Hamid dan terus menuju ke arah Reeshafiq Alwi yang berada di luar kotak penalti Kedah. Tanpa menunggu bola tersebut jatuh ke permukaan padang, beliau dengan tenang melakukan "first timer" ke arah gol Kedah dan menyaksikan suatu gol hebat telah berjaya dihasilkan. Tidak ada mana-mana penjaga gol yang mampu menghalang gol tersebut. Teknik sepakan yang cukup baik oleh Reeshafiq.

Minit 38 : Terengganu meneruskan asakan demi asakan ke arah kubu Kedah apabila Reeshafiq Alwi sekali lagi hampir menjadi duri dalam daging buat Kedah apabila dengan bijak melorongkan bola kepada pemain sayap, Joseph Kallang Tie yang langsung tidak dikawal. Joseph berjaya melepaskan suatu rembatan kencang dari sebelah kiri kotak penalti Kedah. Malangnya rembatan beliau itu dinafikan oleh tiang gol Kenari di mana Abdul Hadi Abdul Hamid sudah pun tertewas. Terselamat sekali lagi gawang tuan rumah.

Minit 43 : Kini giliran Mohd Faizal Abu Bakar pula melepaskan suatu peluang keemasan apabila rembatannya hanya tersasar ke bulan!Beliau yang langsung tidak dikawal oleh mana-mana pemain pelawat sepatutnya mencari ketenangan sebelum melepaskan rembatan tersebut. Namun kegopohan beliau menafikan segalanya.

Minit 45 : Aksi longlai babak pertama Kedah hampir-hampir dihukum buat kali kedua apabila satu lagi "Clearcut Chance" Terengganu hampir-hampir terhasil. Reeshafiq Alwi sekali lagi hampir memusnahkan terus mental pemain-pemain tuan rumah untuk babak pertama apabila berjaya menguis bola hantaran Ashaari Samsuddin melepasi jangkauan Abdul Hadi Abdul Hamid dan ianya seakan-akan gol kedua buat Terengganu namun ketangkasan Abdul Hadi berjaya menidakkan peluang itu. Hadi, dengan pantas melompat setapak ke belakang dan menguis bola tersebut keluar dari zon bahaya. Jika ada anugerah pemain terbaik separuh masa pertama, anugerah tersebut seharusnya menjadi milik penjaga gol muda Kedah ini! Sekalung pujian buat beliau yang bertungkus lumus menyelamatkan gawang Kedah daripada menjadi santapan enak skuad Penyu!

Minit 45 + 1 : Abdul Hadi Abdul Hamid sekali lagi menggelengkan kepala apabila berjaya menepis keluar rembatan padu berbahaya oleh Ashaari Samsuddin. Cubaan ini merupakan cubaan ketiga yang kelihatan seakan-akan gol buat Terengganu.

Minit 45 + 2 : Wisel penamat bagi separuh masa pertama sekaligus meredakan kebimbangan Radhi Mat Din selaku pemangku Ketua Jurulatih skuad Hijau Kuning ini.


Separuh masa kedua


Minit 46 : Radhi Mat Din membuat 2 pertukaran serentak apabila memasukkan Shahril Faizal Sharifuddin bagi menggantikan Khairul Helmi Johari yang mengalami kecederaan Hamstring dan memasukkan Mohd Firdaus Faudzi bagi menggantikan Ahmad Shakir Ali yang kelihatan tidak bermaya pada separuh masa pertama.

Minit 48 :
Penyerang muda Terengganu, Abdul Hadi Yahaya hampir-hampir menghukum kesilapan mudah barisan pertahanan tuan rumah apabila memperolehi peluang 1-by-1 berhadapan Abdul Hadi Abdul Hamid tetapi ketangkasan penjaga gol Kedah ini menafikan peluang tersebut apabila berjaya menepis keluar rembatan itu. Ianya berpunca daripada kesilapan V.Thirumurugan yang ingin mengeluarkan bola daripada zon bahaya tetapi tersepak bola tersebut kepada Abdul Hadi Yahaya yang langsung tidak dikawal oleh mana-mana pemain Kedah.Thiru seharusnya menarik nafas lega!

Minit 51 : Hasmizan Kamaruddin menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning apabila didapati bersalah menarik baju Mohd Faizal Abu Bakar.

Minit 54 :
1-2 menarik dilakukan oleh Joseph Kallang Tie dan Abdul Hadi Yahaya di mana Abdul Hadi menyempurnakan peluang tersebut dengan lemah apabila hanya melepaskan rembatan lemah ke arah penjaga gol tuan rumah yang berjaya menangkap kemas bola tersebut.

Minit 55 : Baddrol Bakhtiar akhirnya memperoleh peluang terbaik buat dirinya apabila berjaya menanduk tajam bola lintangan Mohd Azmi Muslim namun tandukannya itu tepat ke dakapan Mohd Sharbinee Allawee.

Minit 56 :
Giliran Terengganu melancarkan asakan apabila Ashaari Samsuddin berjaya melepaskan satu rembatan leret tetapi berjaya ditangkap kemas oleh Abdul Hadi Abdul Hamid.

Minit 62 :
GOL!! Khyril Muhymeen Zambri akhirnya berjaya memecah kebuntuan buat tuan rumah di dalam perlawanan ini apabila meledakkan gol sulung Liga Super 2011 buat dirinya. Ianya terhasil apabila lintangan rendah dilakukan oleh Mohd Faizal Abu Bakar dari sebelah sayap kiri berjaya sampai ke kaki Baddrol Bakhtiar yang ingin melakukan cubaan. Kegopohan pemain pertahanan Terengganu dalam mengeluarkan bola memakan diri apabila Baddrol Bakhtiar dengan pantas menghulur kaki dan menolak bola kepada Khyril Muhymeen dan dengan tenang beliau menolak bola secara leret ke arah bahagian kiri pintu gol pelawat. Mohd Sharbinee Allawee tewas buat kali pertama di dalam perlawanan ini.

Minit 65 : Gol tersebut nyata menjadi pembakar semangat skuad Kenari yang seakan-akan sudah menemui rentak pemusnah dan semakin bernafsu untuk mencari gol. Ia jelas kelihatan apabila Khyril Muhymeen yang nyata longlai pada babak pertama menjadi garang selepas gol pertama beliau apabila berjaya melepaskan rembatan jarak jauh tetapi berjaya didakap kemas oleh penjaga gol pelawat.

Minit 66 : GOL!! Kedah berjaya menjaringkan gol kedua dalam tempoh 4 minit!! Kali ini, bekas pemain Terengganu, Mohd Firdaus Faudzi atau digelar "Spidotman" mengecewakan bekas rakan-rakannya apabila menjaringkan gol kedua tuan rumah. Pujian harus dilontarkan kepada Firdaus apabila ketenangannya memperdayakan 2 pemain pertahanan Terengganu sebelum merembat bola ke bahagian kanan gawang pelawat akhirnya berbaloi. Sekali lagi ketenangan menjadi punca gol ini terhasil. Beliau menyambut hantaran Ahmad Fauzi Shaari, dan dengan bijak memperdayakan kedua-dua pertahanan Terengganu. Suatu sikap yang harus dicontohi oleh rakan-rakan sepasukan yang lain. Tahniah Firdaus! Gol pertama beliau bersama pasukan kelahirannya!

Minit 68 : Menyedari bahawa pertahanan tengahnya sudah kehilangan konsentrasi dan kerap melakukan kesilapan mudah, Irfan Bakti dengan pantas mengeluarkan Hasmizan Kamarodin dan memasukkan pertahanan berpengalaman, Ronny Harun. Dan dalam misi mencari gol penyamaan, Irfan Bakti mengeluarkan Ismail Faruqi Ashaari dan digantikan dengan seorang lagi penyerang muda berbakat, Wan Mohd Aliff Wan Jasmi.

Minit 79 :
Ashaari Samsuddin menerima hantaran daripada Wan Mohd Aliff Wan Jasmi dan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti tetapi jauh tersasar dari gol Kedah.

Minit 84 : V.Thirumurugan menjadi pemain pertama tuan rumah yang dilayangkan kad kuning apabila melakukan kesalahan menarik baju pemain lawan.

Minit 85 : Radhi Mat Din melakukan pertukaran ketiga buat pasukan Kedah apabila mengeluarkan Baddrol Bakhtiar dan memasukkan Azlan Ismail.

Minit 86 : Irfan Bakti turut menggunakan pertukaran ketiga apabila mengeluarkan Abdul Hadi Yahaya dan memasukkan Md. Alim Fahmi Kamaruddin dalam mencari gol penyamaan pada minit-minit akhir.

Minit 89 : Ashaari Samsuddin seakan-akan menemui gol penyamaan buat pasukannya apabila tandukan tajamnya berjaya diselamatkan dengan penuh gaya oleh Abdul Hadi Abdul Hamid. Peluang keemasan yang terbaik dimiliki oleh pasukan pelawat dalam usaha untuk mencuri 1 mata dari Alor Setar.

Minit 90 + 3 :
Wisel penamat perlawanan. Kemenangan "pertama" buat Radhi Mat Din dan kemenangan kedua buat Hijau Kuning dalam kempen Liga Super Malaysia 2011.



Line up kedua-dua pasukan :



KEDAH
2-Mohd Fauzie Nan, 7-Baddrol Bakhtiar (14-Azlan Ismail), 9-Mohd Azmi Muslim, 11-Ahmad Fauzi Shaari (K), 12-Ahmad Shakir Ali (23-Mohd Firdaus Faudzi), 13-Khairul Helmi Johari (3-Shahril Faizal Shariffuddin), 17-V.Thirumurugan, 18-Mohd Khyril Muhymeen Zambri, 19-Mohd Faizal Abu Bakar, 21-Mohd Sabree Mat Abu, 25-Abdul Hadi Abdul Hamid (PG)

Pemain simpanan yang tidak digunakan KEDAH

6-Shafizan Hashim, 20-Mohd Arfan Rashid, 22-Mohd Al Hafiz Hamzah (PG), 24-Wan Mohd Asraf Wan Ali

Pemain Digantung Pasukan KEDAH

Tiada


TERENGGANU

3-Mohd Muhaimin Omar, 5-Nik Zul Aziz Nawawi, 7-Reeshafiq Alwi, 10-Ismail Faruqi Ashaari (9-Wan Mohd Aliff Wan Jasmi), 12-Joseph Kallang Tie, 13-Hasmizan Kamarodin (11-Ronny Harun), 14-Abdul Hadi Yahaya (8-Md Alim Fahmi Kamaruddin), 15-Mazlizam Mohamad, 18-Ahmad Nordin Alias, 22-Mohd Ashaari Samsudin, 25-Mohd Sharbinee Alawee (PG)(K)

Pemain simpanan yang tidak digunakan TERENGGANU
4-Md.Hassan Basri, 16-Mohd Zubir Mohd Azmi, 24-Mohd Sharmiza Yusoff (PG)

Pemain Digantung Pasukan TERENGGANU
Tiada


Pegawai Pasukan KEDAH :

Ketua Jurulatih : Haji Ahmad Yusoff
Pengurus Pasukan : Dato' Haji Khazali Haji Din

Pegawai Pasukan TERENGGANU :

Ketua Jurulatih : Irfan Bakti Salim
Pengurus Pasukan : Dato' Haji Che Mat Che Jusoh


Pegawai Pertandingan :


Pengadil : Rosdi Shaharul
Penolong Pengadil 1 : Mohd Abdul Suki Said
Penolong Pengadil 2 : Asmadi Noor Hasni
Pegawai ke 4 : Asrul Zairi Abdul Hamid
Kommisioner Perlawanan : -
Penilai Pengadil / PP : SM Ramesh
General Koordinator : Jamil Che Mat
Pegawai Media : Nazri Ismail


STATISTIK PERLAWANAN


KEDAH / TERENGGANU


Percubaan Tepat 5 / 10
Percubaan Tersasar 7 / 7
Sepakan Penjuru 5 / 4
Sepakan Percuma 13 / 16
Kesalahan Dilakukan 16 / 11
Ofsaid 0 / 2
Kad Kuning 1 / 1
Kad Merah 0 / 0


KEPUTUSAN PENUH :

KEDAH 2 - 1 TERENGGANU



HIJAUKUNING.COM Man Of The Match : Khyril Muhymeen Zambri (Kedah)

source : HKC

No comments:

Post a Comment