Kedah berharap akan terus mencipta kemenangan dalam usahanya mencabar kedudukan pendahulu liga, Selangor.
Kelmarin, biarpun bermula sedikit lembap, Kedah berjaya mencuri mata penuh menumpaskan tuan rumah Pulau Pinang 3-0 dalam saingan Liga Super.
Kemasukan Saramsak Kram pada awal separuh masa kedua membangkitkan semangat anak buah Ahmad Yusoff untuk mencari gol dan mendapatkan tiga mata yang amat diharapkan mereka.
Ahmad berkata, pada separuh masa pertama, pemainnya bagaikan hilang arah mencipta jaringan menyebabkan beliau mengambil keputusan mengeluarkan Mohammad Faizal Abu Bakar dan menggantikannya dengan Saramsak.
"Hasilnya kami berjaya bangkit pada separuh masa kedua untuk mendapatkan gol pertama menerusi jaringan Mohamad Azmi Muslim pada minit ke-56.
"Saya lihat permainan mereka semakin meningkat selepas itu dengan beberapa percubaan berbahaya, namun ketangkasan penjaga gol lawan menafikan jaringan kami," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Negeri Batu Kawan, kelmarin.
Kedah seterusnya menambah jaringan menerusi tandukan cantik Azlan Ismail pada minit ke-71 manakala satu lagi gol jaringan Azlan lima minit selepas itu dibatalkan akibat offside.
Ahmad turut memuji kelincahan Saramsak yang mendapatkan gol ketiga pasukan Kedah pada minit ke-86 yang menutup terus cabaran skuad Harimau Kumbang bangkit melawan.
Jelasnya lagi, beliau akan mengekalkan barisan pemain yang sama ketika separuh masa pertama permainan malam tadi untuk perlawanan akan datang menentang T.Team di laman sendiri, Sabtu ini.
"Saya harap kami akan terus mencipta kemenangan untuk mencabar pendahulu liga Selangor dan Terengganu di tangga kedua," ujarnya.
Kedah kini menduduki tangga ketiga dengan 10 mata manakala Pulau Pinang terus terperosok ke dasar liga apabila hanya mengutip empat mata.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan
No comments:
Post a Comment