Oleh Harris Rajahdin, Amin Ridzuan Ishak, Norliza Wasilan, Rizar Mohd Noor, Hamid Salleh, Amin Jalil dan Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my
PEMAIN Kelantan Azizi Matt Rose (kiri) menanduk bola sambil dihalang pemain Kedah, Shafizam Hashim di Stadium Sultan Mohammad, malam tadi. |
SELANGOR terus mengukuhkan sebagai pendahulu apabila menang kali keempat berturut-turut ketika pencabar terdekat, Terengganu hanya seri dengan T-Team dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Juara bertahan itu menang 4-0 ke atas Pahang menerusi jaringan Mohd Safee Sali, Safiq Rahim dan dua gol R Surendren di Stadium Shah Alam untuk mengumpulan 12 mata, lebih empat mata daripada Terengganu yang kekal di tangga kedua.
Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi percubaan kencang Surendran yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Wan Muhd Azraie Wan Teh, dan bola muntah itu singgah di kaki Safee yang hanya perlu menolak masuk bola.
Pahang terus dilanda malang apabila rembatan kencang Safiq terkena penjaga gol dan bergolek masuk untuk gol kedua Selangor pada minit ke-55 sebelum Surendren menambah jaringan ketiga dan keempat (m-77, 83).
l Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu mulanya kelihatan mampu mengekori rapat apabila Manaf Mamat membuka jaringan pada minit ke-71 tetapi T-Team menyamakan kedudukan menerusi Haris Safwan enam minit kemudian.
l Di Stadium JCorp Pasir Gudang, Kuala Lumpur mencatat kemenangan pertamanya musim ini hasil jaringan Yong Kuong Yong yang menanduk masuk sepakan percuma Azidan Faruddin pada minit ke-18 untuk kemenangan 1-0 ke atas Johor FC.
l Di Stadium Sultan Mohammad, Kota Bharu, kesilapan penjaga gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussein yang menyepak bola ke kaki Azlan Ismail digunakan sepenuhnya penyerang Kedah itu untuk menjelmakan gol tunggal perlawanan pada minit ke-42 untuk kemenangan 1-0 pelawat.
l Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah, Negeri Sembilan bangkit selepas ketinggalan 0-1 dengan dua gol Mohd Firdaus Azizul (m-83, 90) selepas KL Plus mendahului pada minit ke-71 menerusi Nizaruddin Yusof.
l Di Stadium Perak, Ipoh, jaringan Azrul Ahmad pada minit ke-74 membolehkan Perlis mengecewakan Perak 1-0 manakala Pulau Pinang dan Johor pula seri 1-1 di Stadium Batu Kawan.
No comments:
Post a Comment