Thursday, January 14, 2010

Mata berharga Perlis

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM


PEMAIN sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) diasak pemain lawan pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. Perlis menang 1-0.


REAKSI ceria dan lega jelas terpancar di wajah jurulatih Perlis, Mohd. Nidzam Adzha Yusof seju- rus selepas tamat aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Mana tidaknya, dengan kekuatan 10 pemain selepas Badrul Azam Zamri dibuang padang pada minit ke-23, skuad Singa Utara itu terpaksa berhempas pulas menangkis asakan demi asakan tuan rumah.

Ternyata semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh anak-anak buah Nidzam Adhza itu berbaloi apabila berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Kedah.

Menurut Nidzam, beliau hanya mampu berserah, lebih-lebih lagi selepas melihatkan barisan kendaliannya diasak 'teruk' pada lewat perlawanan.

Namun katanya, beliau bersyukur debaran itu berakhir dengan noktah kejayaan, sekali gus membolehkan Perlis membawa pulang tiga mata berharga.

"Saya puji persembahan pemain saya yang beraksi dengan baik dan tenang tanpa sebarang tekanan.

"Ternyata mereka mampu bangkit selepas kalah 0-1 kepada Johor FC pada perlawanan pertama di depan penyokong sendiri minggu lalu," katanya semalam.

Jaringan tunggal Perlis dihasilkan bekas penyerang Kedah, Azrul Ahmad pada minit ke-17 setelah menanduk masuk sepakan percuma Amar Rohidan.

Perlis juga terpaksa beraksi 10 pemain setelah, Badrul Azam Zamri dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-23 kerana membantah keputusan pengadil, Wan Mohd. Tarmizi Wan Ibrahim.

Menurut Nidzam, beliau juga berasa bimbang apabila Kedah melakukan beberapa pertukaran di bahagian serangan bagi memburu gol.

Namun, anak-anak buahnya ampuh bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Mengulas tindakan Badrul Azam yang menendang bola ke arah penonton setelah dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Nidzam Adzha turut mengingatkan para pemainnya agar berdisiplin ketika di padang.

No comments:

Post a Comment