Sunday, March 21, 2010

Percaturan Kedah menjadi

Oleh Khairil S Iswan
mkhairil@bharian.com.my
2010/03/22

Ahmad bangga anak didik bangkit mara ke separuh akhir Piala FA

LANGKAH bergaya Kedah ke separuh akhir bola sepak Piala FA selepas menundukkan Tentera 5-0 kelmarin untuk kemenangan dengan agregat 6-1 diandaikan pengendalinya, Ahmad Yusoff sebagai cukup membanggakan apa lagi beraksi tanpa khidmat beberapa pemain utama akibat kecederaan atau digantung perlawanan.

Tindakannya meletakkan Baddrol Bakhtiar sebagai penyerang buat pertama kali nyata menjadi apabila pemain itu cemerlang meledak dua gol awal, malah keputusan menggunakan khidmat Mohd Sabre Mat Abu di bahagian tengah selepas jarang diturunkan, turut membuahkan hasil.

“Sebenarnya, kami tiada pilihan,” kata Ahmad. “Ramai pemain kami mengalami kecederaan atau dikenakan tindakan disiplin. Penjaring terbanyak kami, Azlan Ismail dan Ahmad Fauzi Shaari masih dibelenggu kecederaan manakala Shafizan Hashim masih digantung akibat kad merah. “Namun kami tetap tidak mengalah dan semua pemain menampilkan aksi terbaik. Bagi saya, gol awal adalah kunci kemenangan kali ini. Saya memang tidak menjangka dapat menang dengan jaringan yang besar, namun itulah yang boleh terjadi dalam perlawanan bola sepak. Kesilapan lawan turut membantu kami.

“Sekalipun prestasi semasa kami dalam Liga Super agak terumbang ambing, saya mengharapkan dapat melakukan yang terbaik dalam Piala FA musim ini,” katanya mengenai Kedah yang akan bertemu Terengganu di separuh akhir.

Gol ketiga skuad Hijau Kuning hasil kesilapan penjaga gol Tentera, Khairul Anuar Mohd yang gagal menangkap kemas sepakan jauh Mohd Azmi Muslim dari tengah padang dan dia melakukan kesilapan yang sama untuk gol kelima Kedah selepas gagal menampan kemas rembatan Muhd Aminuddin Azmi.

Sebelum itu, Muhd Shafiq Jamal memberikan gol keempat Kedah, rembatan mudah dari dalam kotak penalti hasil hantaran lintang Baddrol dari kanan yang cemerlang memperdaya dua pertahanan Tentera.
Mengenai kekalahan besar ke atas Kedah, jurulatih Tentera, Zulhamizan Zakariah berkata ia banyak berpunca daripada kesilapan individu.

“Penjaga gol kami (Khairul Anuar) ternyata gugup. Kami tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol utama musim ini, Mohd Nasril Mat Nourdin selepas dia demam dan nasib juga tidak begitu memihak kepada kami dalam perlawanan ini,” katanya.

Tentera turut hampir mencetak gol semalam namun kedua-dua cubaan penyerang prolifiknya, V Saravanan sekadar menggegar palang sekalipun penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza sudah pun tertewas selain terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Abdul Rashid Mahmud dikenakan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua pada minit-minit akhir perlawanan.

No comments:

Post a Comment