Wednesday, April 6, 2011

KFA tawar dua pilihan pada Ahmad

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menawarkan dua pilihan kepada Ketua Jurulatih, Ahmad Yusof sama ada terus bersama KFA dengan menerapkan beliau ke jabatan lain, atau menerima lamaran negeri lain yang mahukan khidmatnya.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, KFA tidak pernah memecat Ahmad, sebaliknya beliau masih dalam tempoh bercuti.

“Kenyataan bahawa Ahmad dipecat tidak benar, KFA tidak pernah memecat beliau kerana kita masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.
alt
Menurutnya, tindakan Jawatankuasa Tetap Pengurusan Pasukan Negeri menyenaraikan calon jurulatih baru adalah sebagai persediaan awal memilih jurulatih, selepas khidmat Pemangku Jurulatih, Mohd Radhi Mat Din berakhir setelah dua minggu memikul tanggung jawab itu.

“Kita perlu mengisi kekosongan jawatan itu dalam tempoh dua minggu, sebab itu kita senaraikan calon yang layak. Namun pada masa sama, tidak berhasrat memecat Ahmad, kerana Ahmad masih belum memberi kata putus sama ada kekal bersama KFA atau terima lamaran pasukan lain,” katanya.

Mengulas mengenai ura-ura mengatakan Ahmad bakal dilamar pasukan Pulau Pinang, Dr Hamdan berkata, KFA tiada masalah untuk melepaskan Ahmad jika beliau berhasrat untuk bersama pasukan pulau mutiara itu.

“Jika Ahmad mahu bersama Pulau Pinang, kita tak akan halang, malah akan permudahkan proses itu memandangkan beliau masih terikat pada kontrak KFA,” katanya.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) perlu mengemukakan surat kebenaran untuk mendapatkan khidmat Ahmad kepada KFA untuk tindakan lanjut.

“Kita masih berbincang dengan Ahmad mengenai perkara ini, dan KFA bersedia melepaskan beliau jika itu pilihan dia. Ahmad berhak buat keputusan dan kami akan terima dengan hati terbuka,” katanya.
Laporan berjudul 'KFA pecat Ahmad Yusof' dan laporan perenggan pertama, 'akhirnya Ketua Jurulatih, Ahmad Yusof dipecat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), berkuat kuasa semalam, adalah tidak benar. Sehubungan itu, Sinar Harian memohon maaf kepada KFA dan Ahmad Yusof.

sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8946474.asp (07/04/2011)

No comments:

Post a Comment